PETALING JAYA – Perbuatan sesetengah individu mencium batu nisan ketika menziarahi tanah perkuburan adalah perbuatan sia-sia dan tidak memberi apa-apa syafaat.
Menjelaskan perkara itu, penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus berkata, Nabi Muhammad S.A.W juga tidak pernah menyuruh umatnya mencium batu nisan ketika melawat kubur.
Tetapi katanya, apa yang disuruh Nabi adalah memberi salam dan membaca doa ketika menziarahi kubur.
“Ciumlah bini, anak, tangan tok guru, tangan ulamak dan pemimpin yang adil. Cium batu nisan nak buat apa?
“Nabi suruh cium hajarul aswad, maka kita kena cium. Kata Saidina Umar oleh kerana Nabi suruh cium, maka aku cium, kalau Nabi tak suruh aku tak cium sebab itu batu,”katanya pada satu sesi kuliah baru-baru ini.
Menurut Azhar lagi, mencium batu nisan juga tidak memberi apa-apa pahala dan mayat tidak mendapat manfaat daripads perbuatan itu
Jelasnya, lebih baik ketika menziarahi kubur kita berdoa supaya mayat saudara kita itu diampunkan Allah.-KOSMO! ONLINE