TAIPING – Hampir 9,000 orang menyertai larian sempena hari keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang ke-67 di sini hari ini.
Acara Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah berkenaan telah memasuki tahun ke-10 penganjurannya yang mana ia biasa dilakukan di Kuala Kangsar.
Bagaimanapun, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan untuk mengadakan acara larian sempena hari keputeraan baginda di Daerah Larut Matang Selama pada tahun ini.
Acara larian hari ini telah bermula seawal 6.55 pagi di Dataran Warisan dan berakhir di Padang Esplanade.
Turut berangkat ke program itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; puteri baginda, Raja Nazira Safya dan adinda Sultan Nazrin, Raja Datuk Seri Yong Sofia.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Saidi Abdul Rahim; Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri; Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh serta barisan exco kerajaan negeri.
Sultan Nazrin berkenan melepaskan larian bagi peserta kategori jarak 15 kilometer (km) pada pukul 6.55 pagi, disusuli pelepasan peserta kategori 10km pukul 7.10 pagi.
Sebanyak empat kategori acara yang dipertandingkan iaitu kategori lelaki wanita terbuka iaitu untuk jarak 15 dan 10km serta kategori pelajar sekolah menengah dan rendah dengan jarak 7 dan 3km. – KOSMO! ONLINE