PETALING JAYA – Selepas nama anaknya tular dalam media sosial semalam kerana terlibat dengan dakwaan serius merogol seorang wanita, bapa kepada pendakwah muda Da’i Syed tampil bersuara.
Syed Mohd. Shaiful Jamalullail dalam satu hantaran Facebooknya semalam berkata, dia sedia maklum dengan isu tular melibat anak lelakinya itu selepas menerima mesej bertalu-talu daripada ramai pihak.
Syed Mohd. Saiful memberi peringatan terbuka kepada anak lelakinya supaya jangan menggunakan agama untuk menutup segala kejahatan yang dilakukan.
“Jika benar kamu berakhlak buruk seperti didakwa dan diviralkan, janganlah kamu menggunakan agama sebagai topeng untuk menutup segala kebejatanmu kerana perbuatan tersebut lebih hina daripada iblis.
“Tinggalkan dunia selebriti dan kembalilah ke jalan Allah serta jalan leluhurmu. Kami semua merinduimu Iqmal yang dahulu. Kami sekeluarga hanya mampu berdoa supaya dijauhkan segala fitnah duniawi dan diberikan keberkatan dalam hidup serta mati,” tulisnya.
Katanya, dia sudah mendidik Da’i Syed atau nama penuhnya Syed Shah Iqmal sejak kecil menurut saranan agama selain menegur serta memberi nasihat sebaiknya.
Bagaimanapun, dia kesal kerana Da’i Syed mengabaikan segala mesejnya selama dua tahun dan tidak pernah membalasnya.
“Saya serahkan urusan menegur ini kepada Allah untuk mengadilinya. Sekiranya benar dakwaan yang diviralkan dan mohon Allah mengembalikan anak saya ke jalan yang benar dan diredai.
“Saya lebih rela dia diadili di dunia daripada dihadap di akhirat di hadapan Qadhi Rabbul Jalil,” tulisnya.
Pada masa sama, lelaki itu turut memberi nasihat kepada semua wanita yang berkenalan dengan anak lelakinya supaya lebih berhati-hati.
“Isu viral ini sudah lama tetapi hari ini makin jadi heboh pula. Kami sudah letih mahu hadap isu sebegini, apalagi adik-adiknya masih belajar. Mereka tertekan dengan sindiran dan ejekan teman di sekolah.
“Bagi mereka yang pernah menghubungi untuk mengadu kepada saya (yang mengaku mangsa), pergilah lapor kepada pihak berkuasa untuk disiasat dan diambil tindakan sewajarnya.
“Saya memberi jaminan sama sekali tidak akan mempertahankan atau menyebelahi anak saya sekiranya dia memang bersalah,” katanya lagi.
Semalam, kecoh dalam laman Twitter apabila seorang pengguna mendedahkan pendakwah muda itu pernah merogol seorang rakannya.
Mempertahankan diri daripada tuduhan yang dianggap melampau tersebut, Da’i Syed kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor sekitar pukul 5.45 petang semalam. – K! ONLINE