PELBAGAI tradisi unik, pelik dan ada kalanya aneh serta bersifat tidak masuk akal wujud di dunia ini.
Pun begitu, bagi pencinta haiwan mungkin tidak sanggup untuk melakukannya.
Bagi masyarakat di perkampungan Grevenbicht, Belanda, mereka mempunyai perayaan memutuskan kepala angsa (goose pulling).
Ia merupakan tradisi wajib yang menjadi salah satu warisan budaya mereka sejak sekian lama.
Menurut salah seorang penduduk asal yang dikenali sebagai Andro, perayaan itu hanya dilakukan pada hari-hari tertentu sebagai sebahagian daripada meraikan Shrove Tuesday.
Katanya, beberapa hari sebelum perayaan itu, segala persiapan akan dilakukan lebih awal bagi memastikan segalanya berjalan lancar.
“Dalam menyiapkan kelengkapan acara, perkara utama yang dilakukan adalah membina satu struktur berupa tiang gol atau seperti tiang buaian.
“Struktur tiang ini biasanya dibina daripada kayu dan besi dengan ketinggian melebihi tiga meter, sebelum dipasakkan di satu lokasi terbuka seperti padang atau jalan raya.
“Setelah binaan itu siap, seekor angsa yang telah mati digantung di tengah-tengah tiang dengan posisi kepala ke bawah dan kedua-dua kaki terikat pada tali di atas palang tersebut,” katanya.
Menurut Andro, peserta lelaki yang mengambil bahagian kemudian akan menunggang kuda bermula dari garisan permulaan, sebelum memecut laju dan merentap sekuat hati kepala angsa itu.
Pun begitu katanya, ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi, antaranya kuda yang ditunggang tidak boleh berhenti di bawah tiang tempat angsa tergantung.
“Peserta diwajibkan mencabut kepala haiwan itu dengan hanya sekali rentapan.
“Peserta yang berjaya menanggalkan kepala angsa dan membawanya ke garisan penamat dikira sebagai pemenang.
“Setiap juara akan dinobatkan sebagai raja selama setahun.
“Selepas tamat tempoh setahun, raja-raja yang pernah dinobatkan sebelum ini akan berentap pula antara satu sama lain dalam acara sama untuk merebut gelaran maharaja,” katanya.
Tambah Andro yang turut pernah bertanding dalam perayaan tradisi yang mula diperkenalkan sejak abad ke-17 itu, bukan mudah untuk memutuskan kepala angsa.
Ujarnya, peserta biasanya akan mengalami kesukaran untuk mengekalkan cengkaman pada kepala atau leher angsa, lebih-lebih lagi ketika menunggang kuda dengan laju.
“Reaksi kuda terkejut juga sering kali terjadi dan ini menambahkan lagi kesukaran untuk melakukan amalan ekstrem itu.
“Hal sedemikian menyebabkan ramai penunggang terlepas peluang dan ada yang cedera akibat terjatuh dari kuda,” katanya.
Dalam merebut gelaran raja, tradisi tersebut menjadi pentas untuk pesaing membuktikan bahawa mereka adalah antara orang memiliki fizikal kuat, berani, berdaya saing dan bersedia mengambil risiko.
“Meskipun ia dianggap sebagai satu amalan luar normal manusia, namun tradisi pelik sedemikian telah diperkenalkan di kebanyakan negara ketika ini.
“Bukan hanya di Belanda, beberapa bahagian di Belgium, England, Jerman dan Amerika Utara juga telah mengamalkan tradisi sama.
“Pada permulaan budaya ini, kebanyakan angsa yang digunakan masih lagi bernyawa.
“Penggunaan haiwan hidup dalam amalan tersebut telah diteruskan dalam beberapa abad lamanya,” katanya.
Bagaimanapun, bermula pada tahun 1656, satu ordinan dikeluarkan bagi membantah sekeras-kerasnya penggunaan haiwan hidup dalam tradisi sebegitu kerana dianggap kejam.
Akibat bantahan itu, satu peraturan mengharamkan penggunaan angsa hidup dalam apa juga acara telah dikuatkuasakan bermula pada 1920.