GENEVA – Cadangan Israel mahu melaksanakan zon selamat tidak boleh dilaksanakan kerana orang awam Palestin mesti dilindungi di seluruh Semenanjung Gaza, kata Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-angsa Bersatu (PBB) seperti laporan agensi berita Anadolu kelmarin.
“Cadangan semasa Israel untuk mengadakan apa yang dinamakan sebagai zon selamat (selatan Gaza) tidak boleh dipertahankan. Zon tersebut bukan sahaja tidak selamat, malah tidak boleh dilaksanakan berdasarkan bilangan pelarian yang begitu ramai.
“Orang awam mesti dilindungi di seluruh Semenanjung Gaza di mana sahaja mereka berada,” kata Volker Turk dalam ucapan kepada Perhimpunan Agung PBB Mengenai Gaza di New York.
Cadangan zon selamat itu sebagai memenuhi hasrat Israel di Semenanjung Gaza selepas Rejim Zionis mengarahkan perpindahan besar-besaran penduduk Palestin dari utara ke selatan Gaza.
Namun, cadangan itu menghadapi kritikan hebat terutamanya kerana saiz wilayah Palestin itu yang kecil, namun didiami lebih 2.3 juta orang.
Sambil mengingatkan pihak-pihak bertelagah tentang kewajipan mereka untuk membezakan antara orang awam dan pejuang dan membezakan struktur awam serta sasaran ketenteraan, Turk berkata: “Serangan yang ditujukan kepada orang awam atau objek awam yang dilindungi seperti hospital sama sekali dilarang.
“Tiada sesiapa berada di atas undang-undang. Pencabulan undang-undang kemanusiaan antarabangsa oleh satu pihak tidak sesekali memberikan kebebasan kepada pihak lain untuk melanggar prinsip undang-undang peperangan dan kewajipan hak asasi manusia,” katanya.
Ketua hak asasi manusia itu berkata, beliau juga sangat bimbang tentang peningkatan keganasan dan diskriminasi teruk terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat yang dijajah Israel termasuk Baitulmuqaddis Timur.
“Saya bimbang dengan peningkatan pembunuhan penduduk Palestin oleh pasukan keselamatan dan peneroka haram Israel, perpindahan masyarakat Palestin akibat keganasan peneroka Yahudi, peningkatan mendadak dalam penangkapan serta penahanan sewenang-wenangnya dan layanan buruk terhadap tahanan Palestin,” kata Turk.
Menyuarakan amaran tentang kehabisan bekalan bahan api yang akan berlaku, Turk berkata: “Ini membawa kepada keruntuhan sistem air, kumbahan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang penting dan boleh menamatkan bantuan kemanusiaan yang Israel setakat ini membenarkannya dibawa masuk ke Gaza.”
Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa Israel mengambil langkah segera untuk memastikan pasukan keselamatan mematuhi kewajipan mereka sebagai kuasa penjajah untuk melindungi penduduk Palestin di Tebing Barat termasuk daripada keganasan peneroka haram Yahudi.
“Siasatan terhadap pencabulan mesti dilakukan tanpa berlengah,” tegasnya.
Jika ada pengajaran yang boleh diambil daripada krisis ini, katanya, ia adalah kepentingan hak asasi manusia semasa mencegah, mengurangkan dan menyelesaikan peperangan.
“Adalah jelas bahawa penjajahan Israel perlu ditamatkan. Adalah penting untuk memastikan hak penduduk Palestin dalam menentukan nasib mereka dan negara mereka sendiri,” kata Turk.
Sejak Israel mula mengebom Gaza pada 7 Oktober lalu, lebih 12,000 penduduk Palestin termasuk lebih 7,800 wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 30,000 lagi cedera, demikian menurut angka rasmi terkini oleh pihak berkuasa Palestin.
Beribu-ribu bangunan, termasuk hospital, masjid, dan gereja juga rosak atau musnah dibom tentera Rejim Zionis dalam serangan udara dan darat berterusan ke atas wilayah Palestin.
– AGENSI