KANGAR – Dua lelaki Thailand yang disyaki terlibat dalam kejadian berbalas tembakan di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar dekat sini sehingga mengakibatkan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Turut direman 16 lagi individu dipercayai anggota sindiket pembekalan dan penyeludupan ketum di negeri ini terdiri daripada 15 penduduk tempatan dan seorang lelaki Thailand bagi membantu siasatan kes tersebut.
Semua suspek tempatan direman selama empat hari bermula hari ini manakala lelaki Thailand selama tujuh hari bermula hari ini.
Siasatan ke atas mereka dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh dan Seksyen 307 KK kerana cubaan membunuh.
Perintah tahanan reman ke atas semua suspek berusia antara 19 hingga 37 tahun itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah di sini hari ini.
Terdahulu, kesemua 18 suspek yang dibawa dengan trak polis tiba di pekarangan Mahkamah Kangar di sini kira-kira pukul 8.50 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, semua 16 tangkapan susulan kejadian dibuat di negeri ini seawal pukul 7 pagi semalam.
Kata beliau, mereka dipercayai anggota sindiket penyeludupan ketum di negeri ini.
Kosmo! hari ini melaporkan seoranga anggota PGA maut ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan 13 penyeludup ketum dan ubat batuk di kawasan hutan berhampiran pos sempadan Malaysia-Thailand di sini.
Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi itu, Koperal Baharuddin Ramli, 54, daripada Batalion 3 PGA Bidor meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Koperal Norihan Tari, 39, parah. – K! ONLINE