fbpx

Euro 2024: San Marino tamatkan badi 18 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FRANCIOSI meledak gol San Marino ketika mereka tewas menentang Kazakhstan awal pagi semalam. - AGENSI

ASTANA, Kazakhstan – Pasukan ranking 208 dan terendah di dunia, San Marino akhirnya menamatkan badi 18 tahun apabila berjaya menjaringkan gol dalam dua perlawanan berturut-turut buat kali pertama sejak 2005.

San Marino sebelum ini berjaya meledak gol pertama daripada lapan aksi terakhir ketika tewas 1-2 kepada Denmark bulan lalu selepas kali terakhir melakukannya sewaktu seri 1-1 dengan Saint Lucia pada November 2022.

Pasukan kerdil yang diberi gelaran La Serenissima itu berjaya menjaringkan gol kedua mereka walaupun tewas 1-3 kepada Kazakhstan pada aksi Kumpulan H kempen kelayakan Euro 2024 di Astana Arena malam kelmarin.

Dalam aksi itu, Kazakhstan terlebih dahulu menjaringkan dua gol menerusi Islam Chesnokov pada minit ke-19 dan 51.

San Marino yang majoritinya dibarisi pemain amatur, berjaya merapatkan jurang 1-2 hasil jaringan Simone Franciosi pada minit ke-60, sekali gus menjadi gol ke-29 negara yang berpopulasi 34,000 penduduk dalam sejarah kelayakan Euro.

Malah, Franciosi turut menjadi pemain ke-11 dalam sejarah San Marino menjaringkan gol dalam kejohanan antarabangsa dengan Andy Selva adalah penjaring terbanyak menerusi lapan gol dari 1998 hingga 2011.

Hasrat San Marino untuk terus mencipta keajaiban tidak menjadi kenyataan apabila Kazakhstan meledak gol ketiga menerusi Abast Aimbetov pada lewat permainan.

Sebagai rekod, Kazakhstan kini berpeluang untuk menyambar tiket automatik ke Euro 2024 jika menang ke atas pasukan tempat kedua, Slovenia dalam aksi terakhir pada Selasa ini.

San Marino pula tidak pernah memenangi sebarang aksi kompetitif antarabangsa dan kemenangan 1-0 ke atas Liechtenstein di Serravalle pada 28 April 2004 dalam satu perlawanan persahabatan menjadi satu-satunya kejayaan bersejarah negara itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI