PETALING JAYA – Penyanyi dan komposer Ikhwan Fatanna, 33, selamat bernikah dengan penyampai radio Zayan FM, Lin Ariffin, 36, selepas mula rapat sejak pertengahan tahun lalu.
Majlis pernikahan mempelai itu berlangsung di Hulu Langat, Selangor, malam tadi.
Ikhwan dinikahkan bapa Lina atau nama sebenarnya, Siti Amalina Ariffin dan menyerahkan mas kahwin berjumlah RM3000 bersama sebentuk cincin.
Kata Ikhwan atau nama sebenarnya, Ikhwan Fattana Mokhtar, dia berasakan wanita itu adalah jodoh yang tepat ditentukan Allah SWT buat dirinya.
“Majlis berlangsung sederhana. Saya sudah lama kenal Lin sebagai rakan kerja cuma sekitar pertengahan tahun lalu baru kami mula rapat. Bila sudah serasi, barulah saya rasa dialah wanita yang wajar dijadikan isteri.
“Umur kami pun masing-masing dah kian matang menandakan sudah tiba waktu berumah tangga. Perkara yang baik eloklah disegerakan agar mendapat keberkatan Ilahi,” katanya.
Bergelar bapa secara automatik, Ikhwan bersedia menggalas tanggungjawab terbabit kepada anak tiri, Edruce Adam yang merupakan cahaya mata Lin hasil perkahwinan terdahulu.
“Lin juga memiliki anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu iaitu Edruce Adam.
“Saya rasa satu pengalaman luar biasa apabila bergelar seorang bapa seawal ini.
“Saya dan Edruce Adam memang rapat sebelum saya dan Lin berkahwin,” katanya lagi.
Istimewa pada majlis perkahwinan apabila Ikhwan sempat menyampaikan sebuah lagu berjudul Isteri Solehah khas ditujukan buat permaisuri hatinya itu. – KOSMO! ONLINE