KEMAMAN – Pas menegaskan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar tidak perlu melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu walaupun bertanding sebagai calon parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pemilihan Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden parti itu tidak menyalahi sistem demokrasi yang membolehkan seorang Menteri Besar bertanding di kerusi Parlimen.
Tegas beliau, perlembagaan negara membenarkan seorang Menteri Besar memegang jawatan Ahli Parlimen dalam penggal sama.
“Saya pun pernah menjadi Menteri Besar (Terengganu) dan Ahli Parlimen Marang (pada 1999 hingga 2004). Itu tidak salah bagi politik Malaysia.
“Sekarang pun terdapat dua Menteri Besar dan seorang Ketua Menteri yang turut menjadi Ahli Parlimen,” katanya sewaktu mengiringi Ahmad Samsuri pada hari penamaan calon PRK Parlimen Kemaman di sini hari ini.
Ahmad Samsuri bakal bertembung dengan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mewakili Barisan Nasional (BN).
Abdul Hadi mengulas cabaran Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said agar Ahmad Samsuri melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Terengganu dan memberi fokus kepada kerusi Parlimen Kemaman yang bakal ditandinginya.
Sementara itu, Ahmad Samsuri pula menyifatkan kenyataan Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO tidak berasas.
“Mungkin Azalina tengah pening dan stress ketika memberi kenyataan itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE