fbpx

PRK Kemaman: BN pertaruh calon diterima ramai, banyak berjasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad (kiri) dan Raja Mohamed Affandi (dua dari kiri) ditemui selepas hari penamaan calon PRK Parlimen Kemaman di MPK, Kemaman hari ini.

KEMAMAN – Barisan Nasional (BN) menganggap parti itu ‘underdog’ dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, namun telah meletakkan calon terbaik untuk dipilih 141,790 pengundi.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera merupakan calon yang diterima ramai terutama jentera parti.

“Kita (BN) sudah letak calon terbaik, Beliau telah banyak berjasa terhadap negara dan sebagai Panglima ATM, beliau telah membawa imej ATM ke tahap lebih tinggi.

“Masa banjir (besar pada) 2013, jambatan (bailey) dalam Kemaman ini, ATM yang mula-mula buat,” katanya selepas mengiringi Raja Mohamed Affandi pada hari penamaan calon PRK Parlimen Kemaman di sini hari ini.

Raja Mohamed Affandi bakal bertembung dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas dalam PRK Parlimen Kemaman.

Mohamad berkata, Raja Mohamed Affandi juga diterima dengan baik oleh semua jentera parti BN di setiap pusat daerah mengundi (PDM) di kawasan Parlimen ini.

Sehubungan itu, beliau meminta jentera parti terus menyusun gerak kerja berfokus dan mendekati seramai mungkin pengundi sehingga tempoh terakhir berkempen pada tengah malam 1 Disember ini.

“Dekati seramai mungkin ahli-ahli BN dan pengundi-pengundi yang dahulunya atas pagar, bermasalah dan cah keting.

“Kita ‘underdog’ dalam PRK (Kemaman) ini, senang kita bekerja. Kalau izin Allah menang, kita (BN) dapat empat bintang (pangkat tentera), belah sana (Perikatan Nasional), ada dua bintang (Ahli Parlimen Ketereh, Dato’ Khlir Mohd Nor) and he (Raja Mohamed Affandi) understand simple english (beliau faham bahasa Inggeris mudah),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI