fbpx

Brunei, Indonesia, Malaysia gesa gencatan senjata di Semenanjung Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan. - AFP

PUTRAJAYA – Brunei, Indonesia dan Malaysia menggesa agar gencatan senjata dan perdamaian kemanusiaan yang berkekalan dicapai bagi membawa kepada pemberhentian permusuhan di Semenanjung Gaza.

Menurut kenyataan bersama tiga negara berkenaan, pemimpin-pemimpin negara itu menyambut baik Golden Gate Declaration pada Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) dilihat mencerminkan konsensus mengenai semua isu ekonomi menjadi kebimbangan bersama.

Kata kenyataan itu, ketiga-tiga negara ambil perhatian bahawa pengerusi mengeluarkan kenyataan pengerusi yang berasingan.

“Oleh itu, kami bersetuju untuk mengeluarkan kenyataan berikut untuk memberikan gambaran yang lebih baik dan adil tentang perbincangan mengenai malapetaka kemanusiaan di Gaza semasa Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC,” katanya.

Tambah kenyataan itu, ketiga-tiga negara itu juga memandang serius selain berasa bimbang berhubung penderitaan yang dihadapi dan kesan buruk peperangan serta konflik di seluruh dunia.

“Kami menegaskan bahawa konflik boleh menyebabkan kesan signifikan terhadap ekonomi dunia.

“Kami menggesa gencatan senjata kemanusiaan segera, berpanjangan dan berterusan yang membawa kepada pemberhentian permusuhan di Semenanjung Gaza,” ujarnya.

Selain itu, ketiga-tiga negara juga turut menekankan keperluan penyediaan barangan dan perkhidmatan penting kepada orang awam dilaksanakan dalam kadar segera di seluruh Semenanjung Gaza.

“Kami menegaskan semula, bahawa penyelesaian yang adil dan berkekalan kepada konflik Israel-Palestin hanya boleh dicapai dengan cara aman.

“Ia berdasarkan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan termasuk Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu A/ES-10/L.25 dan Resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu 2712.

“Seterusnya, mengikut undang-undang antarabangsa, berdasarkan penyelesaian dua negara, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin.” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI