fbpx

Gelanggang PRK Parlimen Kemaman mula dibuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Raja Mohamed Affandi (empat dari kiri) bersama kepimpinan BN dan PH pada hari penamaan calon PRK Parlimen Kemaman di Dewan Berlian, MPK, Kemaman hari ini.

KEMAMAN – Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman membuka tirai dengan penamaan calon berlangsung di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di sini hari ini.

Calon Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar tiba pada pukul 8.30 pagi dan berarak kira-kira 500 meter ke pusat penamaan dengan diiringi ribuan penyokongnya yang membawa sepanduk dan bendera parti.

Beliau turut diiringi beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) seperti Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa.

Sementara itu, calon Barisan Nasional, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang tiba pada pukul 8.50 pagi diiringi penyokongnya dan turut berarak kira-kira 500 meter ke pusat penamaan calon.

Raja Mohamed Affandi turut diiringi beberapa pemimpin Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan, Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu.

Ahmad Samsuri (hadapan, tiga dari kiri bersama kepimpinan PN) pada hari penamaan calon PRK Parlimen Kemaman di Dewan Berlian, MPK, Kemaman hari ini.

Pegawai Pengurus Bahagian PRK Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab kemudiannya mengumumkan, penyerahan kertas penamaan calon dibuka bermula pukul 9 hingga 10 pagi.

Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan pasangan serta 12 pengundi tidak hadir luar negara.

PRK Kemaman diadakan susulan Mahkamah Pilihanraya Terengganu membatalkan kemenangan Alias pada 26 September lalu.

Kosmo! 27 September lalu melaporkan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid di kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ekoran wujud unsur sogokan dilakukan parti itu sewaktu tempoh berkempen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI