fbpx

Budak lelaki 11 tahun maut digilis jentera pembajak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Muhammad Aiman maut dipercayai akibat digilis jentera pembajak di kawasan sawah di Kampung Sungai Korok, Jitra hari ini.

JITRA – Seorang kanak-kanak lelaki orang kelainan upaya (OKU) maut dipercayai akibat digilis sebuah jentera pembajak dalam kejadian di kawasan sawah di Kampung Sungai Korok, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Muhammad Aiman Rosli, 11, ditemui penduduk kampung dalam keadaan tertiarap di dalam lumpur serta tidak sedarkan diri.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 7.08 malam tadi.

“Sepasukan anggota bomba terus ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa cedera parah dipercayai akibat digilis jentera pembajak.

“Petugas Kementerian Kesihatan kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, polis terpaksa memanggil pasukan bomba bagi mengeluarkan mangsa.

“Pasukan bomba dari BBP Jitra tiba dan melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah alat pemutar.

“Mangsa mengalami kecederaan parah pada badan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya.

Tambahnya, pihaknya masih melakukan siasatan dan saksi kejadian akan dipanggil bagi mengetahui punca kejadian  dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI