BANGI – Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani mendakwa dia diarahkan oleh seorang individu berjawatan tinggi untuk merakam satu klip video bagi memerangkap Bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff.
Abdul Wahab, 33, yang sudah mendirikan rumah tangga dan memilik empat orang anak mendedahkan, individu tersebut yang dinamakan ‘Mr. H’ pernah membuat beberapa pertemuan dengannya dan menawarkan ‘jawatan’ lebih tinggi sebagai habuan.
Menurut Abdul Wahab, sebagai pegawai baru di J-KOM, dia berasa teruja untuk melaksanakan tugas yang diarahkan.
“Sekitar bulan ini, saya berjumpa Mr. H di pejabat beliau. Bermula daripada situ, beberapa pertemuan diadakan termasuk di sebuah hotel sekitar Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan individu-individu berpengaruh.
“Saya diberitahu kononnya beliau (Mr. H) telah menerima maklumat bahawa Mohammad Agus terlibat dalam aktiviti yang tidak bermoral.
“Mr. H menyatakan beliau ditugaskan untuk membersihkan J-KOM dari dalam dan meyakinkan saya beliau disokong beberapa individu berpengaruh yang ingin menjatuhkan Mohammad Agus.
“Kemudian, saya ditugaskan membuat satu rakaman perbualan bersama Mohammad Agus bagi mendapatkan bukti beliau terlibat dalam aktiviti songsang dan tidak bermoral, hakikatnya video yang dirakam itu tidak mempunyai ‘audio’ (suara),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar tergempar di Hotel Tenera, di sini hari ini.
Mengulas mengenai video asal, Abdul Wahab berkata, dia hanya berbual santai bersama Mohammad Agus dan pernah membuat beberapa panggilan sebelum itu.
“Saya telah serahkan senarai nama individu dalam komplot ini termasuk mereka yang memegang jawatan tinggi dalam J-KOM kepada peguam untuk mengkaji tindakan yang boleh diambil.
“Akhir sekali, saya ingin membuat rayuan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk turut mengkaji individu dalam J-KOM agar tidak menjadi musuh dalam selimut,” ujarnya.
Sementara itu, Abdul Wahab yang baru sahaja memulakan tugas pada 1 November lalu turut meminta maaf kepada Mohammad Agus di atas kesilapan yang dilakukan. – KOSMO! ONLINE.