BANDAR GAZA – Sejumlah penduduk awam Palestin dibunuh dan ramai lagi cedera hari ini ketika kempen pembunuhan beramai-ramai tentera Israel dilancarkan di Semenanjung Gaza berterusan untuk hari ke-42 berturut-turut, lapor agensi berita WAFA.
Serangan udara tentera Rejim Zionis itu juga mengakibatkan kemusnahan besar-besaran terhadap rumah dan infrastruktur di wilayah Palestin tersebut.
Laporan WAFA mengesahkan bahawa empat orang awam terbunuh dalam serangan udara tentera Israel yang menyasarkan sebuah rumah di bandar Khan Younis, selatan Gaza.
Selain itu, beberapa orang lagi terbunuh dan cedera dalam serangan tentera Rejim Zionis ke atas sebuah rumah di bandar berdekatan, Bani Suhaila yang terletak di sebelah timur Khan Younis.
Sekurang-kurangnya 18 orang awam, termasuk kanak-kanak dan wanita terkorban dalam serangan udara lain yang menyasarkan sebuah rumah di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza.
Dalam pada itu, di kem pelarian Jabalia, berpuluh-puluh orang awam terbunuh dan cedera apabila jet-jet tempur Israel tanpa henti mengebom kawasan kediaman.
Serangan meluas berlaku di sekitar Hospital Indonesia dengan tentera penjajah Israel memperhebat pengeboman di kawasan itu.
Semua hospital di Bandar Gaza dan utara Semenanjung Gaza tidak beroperasi manakala Hospital Baptist serta Hospital Indonesia di Beit Lahia menjadi semakin kritikal.
Pencerobohan kereta-kereta kebal oleh tentara penjajah Rejim Zionis di sekitar Hospital Medan Jordan juga telah menambah cabaran yang dihadapi oleh pasukan perubatan Palestin.
Gaza juga terputus hubungan dengan dunia luar termasuk gangguan sepenuhnya ke atas talian tetap dan telekomunikasi mudah alih serta perkhidmatan internet.
Sejak permulaan pencerobohan berterusan Israel ke atas Gaza pada 7 Oktober lalu, hampir 11,500 penduduk Palestin termasuk lebih 4,700 kanak-kanak dan 3,155 wanita terkorban dengan hampir 29,000 yang lain cedera. – AGENSI