BUENOS AIRES – Juara dunia, Argentina terpaksa akur gagal mempertahankan rekod tanpa kalah dalam 14 perlawanan antarabangsa berturut-turut selepas tewas 0-2 kepada Uruguay di Stadium La Bombonera semalam.
Kehadiran pemenang lapan Ballon d’Or, Lionel Messi gagal membantu La Albiceleste buat kali pertama sejak pasukan No.1 dunia itu tewas mengejut 1-2 kepada Arab Saudi sewaktu aksi peringkat kumpulan Piala Dunia Qatar 2022 hujung tahun lalu.
Messi gagal menghadirkan impak berbahaya biarpun Argentina menguasai 64 peratus permainan selain melakukan 12 percubaan berbanding Uruguay yang masih berupaya meledak dua gol walaupun lebih banyak bertahan di kubu sendiri.
“Kami tidak pernah berasa selesa sepanjang perlawanan ini. Uruguay adalah pasukan yang mengamalkan corak fizikal tetapi dalam masa sama mereka hebat sebagai satu unit.
“Ia sentiasa sukar apabila beraksi menentang mereka. Kami terpaksa menerima keputusan ini walaupun ia sesuatu yang sukar untuk diterima oleh semua pemain,” kata Messi.
Kegagalan barisan tengah Argentina mengekang asakan daripada pemain sayap Uruguay mengundang padah apabila lawan membuka tirai jaringan menerusi rembatan tonggak pertahanan Barcelona, Ronald Araujo pada minit ke-41.
Pengendali Argentina, Lionel Scaloni membawa masuk Angel Di Maria di babak kedua untuk menambah bisa serangan tetapi gagal membantu dengan percubaan terbaik hadir melalui sepakan percuma Messi yang terkena palang pada minit ke-57.
Sebaliknya, Uruguay berjaya meledak gol kedua menerusi satu serangan balas pantas yang disudahkan oleh penyerang Liverpool, Darwin Nunez ketika aksi berbaki tiga minit lagi untuk tamat.
Biarpun tewas, Argentina tetap kekal menerajui tangga teratas dengan 12 mata daripada lima perlawanan, dua mata mengatasi Uruguay yang kini melonjak ke tangga kedua. – AGENSI