fbpx

Kes rasuah Guan Eng: Prosiding cabar kredibiliti Zarul ditentukan 9 Januari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guan Eng (kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen. Foto oleh ISKANDAR ISHAK/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 9 Januari ini bagi memutuskan sama ada pernyataan Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), boleh digunakan untuk mencabar kredibiliti beliau pada perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng.

Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh itu bagi membolehkan beliau meneliti kandungan pernyataan setebal 108 muka surat yang diserahkan kepada mahkamah hari ini.

“Saya akan teliti dahulu pernyataan ini dan buat keputusan sama ada ia boleh digunakan untuk mencabar kredibiliti saksi (Zarul Ahmad),” ujar beliau.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menyerahkan pernyataan ahli perniagaan itu kepada mahkamah seperti yang diperintahkan oleh hakim berkenaan sebelum ini.

Bagaimanapun, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng memohon pernyataan itu diserahkan kepada pasukan pembelaan terlebih dahulu bagi membolehkan pihaknya membaca dan menggariskan perenggan-perenggan tertentu yang didakwa memprejudiskan tertuduh.

Pada prosiding hari ini, Guan Eng tidak hadir selepas kehadirannya dikecualikan oleh mahkamah.

Pada 2 November lalu, Azura membenarkan pasukan pembelaan memulakan prosiding mencabar kredibiliti Zarul Ahmad yang merupakan saksi penting pendakwaan pada perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang.

Mahkamah akan menentukan sama ada wujud percanggahan pernyataan saksi pendakwaan ke-23 (SP23) itu ketika siasatan sebuah kes berlainan di Shah Alam dengan keterangannya ketika menjadi saksi kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau selanjutnya mengarahkan pihak pendakwaan membekalkan salinan pernyataan Zarul Ahmad yang direkodkan oleh SPRM dalam kes melibatkan ahli perniagaan, G. Gnanaraja di Shah Alam.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sedang dibicarakan atas pertuduhan menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama bernilai RM6.3 bilion. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI