fbpx

Konflik Palestin-Israel: Hospital Indonesia tidak dapat beroperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jururawat memindahkan kanak-kanak yang cedera di Hospital Al-Aqsa susulan pengeboman Israel di Deir el-Balah kelmarin. - AFP

BANDAR GAZA – Hospital Indonesia di utara Semenanjung Gaza ‘tidak dapat beroperasi langsung’ kerana kekurangan bekalan dan bilangan pesakit yang ramai di tengah-tengah serangan Israel ke atas wilayah Palestin berkenaan.

Portal berita Al Jazeera melaporkan, rakaman dari hospital di Beit Lahiya itu memaparkan situasi orang awam yang cedera berbaris dalam keadaan tertiarap dan terbaring di lorong sambil berlumuran darah.

“Kami tidak boleh menawarkan perkhidmatan lagi. Kami tidak boleh menawarkan katil kepada pesakit,” kata pengarah hospital, Atef al-Kahlout semalam.

Walaupun hospital itu mempunyai kapasiti 140 pesakit, al-Kahlout berkata bahawa kira-kira 500 pesakit kini ditempatkan di kemudahan itu.

Menurut beliau, 45 pesakit memerlukan ‘pembedahan segera’ dan meminta ambulans tidak membawa masuk mangsa yang cedera lagi ke kemudahan itu kerana kekurangan bekalan.

Jabatan-jabatan di hospital itu juga tidak dapat menjalankan kerja mereka dengan pekerja kesihatan melaporkan kekurangan bekalan perubatan yang kritikal.

“Pasukan perubatan terpaksa memotong anggota badan pesakit kerana kegagalan organ,” kata wartawan Al Jazeera, Tareq Abu Azzoum sambil menambah, hospital itu tidak dapat memindahkan mangsa ke kemudahan lain.

Hospital Indonesia yang terletak berhampiran kem pelarian Jabalia juga melindungi ratusan orang awam yang kehilangan tempat tinggal dan mencari perlindungan di sana.

Persekitaran hospital itu beberapa kali diserang Israel dengan sekurang-kurangnya dua orang awam terbunuh antara 7 dan 28 Oktober lalu, demikian menurut Human Rights Watch. 

“Semua hospital di bandar Gaza dan utara telah berhenti beroperasi,” tambah al-Kahlout. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI