BANGKOK – Seorang lelaki Kemboja cedera ditikam oleh kekasihnya pada sambutan ulang tahun kelahiran wanita itu hanya kerana dia merenung seorang gadis lain dalam kejadian, lapor portal berita The Pattaya News hari ini.
Polis menerima laporan kira-kira pukul 2.30 pagi semalam (waktu tempatan) dan bergegas ke sebuah kediaman di daerah Banglamung,, Chonburi.
Setiba di lokasi tersebut, pihak berkuasa menemui kesan darah dan pisau dapur sepanjang 20 sentimeter.
Terdapat tanda pergelutan antara mereka berdua di kediaman tersebut dan kek hari lahir untuk kekasihnya yang hanya dikenali sebagai Joy itu terjatuh di atas lantai.
Lelaki yang cedera dikenali sebagai Vin, 34, dan ditemui terbaring di atas sebatang jalan dengan kesan tikaman di dada dan pergelangan tangan kiri mangsa.
Menurut seorang saksi yang hanya dikenali sebagai Solaa, 25, pertengkaran tercetus antara Vin dan teman wanitanya yang juga warga Kemboja semasa majlis hari jadi wanita berkenaan.
Pertengkaran bermula apabila Vin dilaporkan merenung wanita lain, menyebabkan situasi tegang dan pertengkaran fizikal dengan teman wanitanya. Lelaki itu keluar dari kediaman tersebut untuk menyelamatkan dirinya selepas ditikam.
Namun, dia ditemui di sebatang jalan dan diberikan pertolongan cemas awal oleh anggota-anggota penyelamat sebelum dihantar segera ke sebuah hospital dan masih dirawat sehingga kini. – AGENSI