BANGKOK – Misi pencarian seorang lelaki hilang, Chaowalit Thongduang di sebuah kawasan hutan di Thailand memasuki episod baharu apabila pasukan polis mengaku mereka diganggu oleh kejadian menyeramkan ketika menjalankan operasi tersebut, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Insiden berlaku di sebuah hutan tebal di kawasan air terjun Ton Tok, wilayah Trang yang digunakan sebagai pangkalan operasi menyelamat berkenaan.
Lebih 10 anggota pasukan polis wilayah Trang dan penduduk kampung turun dari lokasi pencarian mereka di atas bukit semalam untuk pertukaran syif.
Namun, mereka yang turun ke bawah menceritakan pengalaman ngeri yang dialami pada dua malam lalu.
Menurut mereka, seluruh kumpulan itu diganggu oleh hantu menyerupai wanita ketika tidur di dalam hutan.
Seorang anggota polis mendedahkan bahawa hutan tebal itu terkenal sebagai lokasi berpuaka dan kumpulan mereka bukanlah yang pertama berdepan pengalaman paranormal seperti itu.
Tambah anggota polis yang namanya tidak didedahkan itu, mana-mana pasukan yang ditugaskan ke kawasan tersebut pada masa akan datang tidak boleh tidur di sana kerana pengalaman mengerikan yang mereka alami, lapor KhaoSod.
Namun, tidak dinyatakan dengan jelas perkara yang dialami kumpulan berkenaan.
Pencarian Chaowalit diteruskan meskipun polis menghadapi insiden menakutkan seperti yang didakwa. – AGENSI