SUNGAI PETANI – Lebih 14,000 anggota dan sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) seluruh negara sudah bersiap sedia untuk menghadapi bencana alam berikutan jangkaan berlaku pertembungan fenomena El Nino dan Monsun Timur Laut (MTL), bulan ini.
Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, bilangan anggota tersebut telah ditingkatkan berbanding hanya seramai 10,510 anggota dan sukarelawan pada tahun lalu.
Beliau berkata, APM memberi lebih tumpuan kepada negeri-negeri di sebelah Pantai Timur dan sebelah barat Sarawak.
“Namun begitu, kawasan lain juga turut akan diberi perhatian sekiranya kawasan tersebut mengalami hujan yang agak ketara tetapi pada ketika ini kita masih lagi dalam keadaan siap siaga,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Himpunan Setia APM di Rumah Kahwin MADAD, di sini hari ini.
Menurutnya, pihaknya juga berharap penglibatan dan kerjasama daripada orang awam terutama mereka yang tinggal di kawasan berisiko kerana mereka sendiri yang akan berdepan dengan situasi bencana alam tersebut.
“Selain itu, kita harap orang awam juga dapat berikan kerjasama yang baik bagi mengelak pihak APM daripada terpaksa mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS),” ujarnya.
Tambahnya, pihak APM juga telah menambah menambah sebanyak 100 ambulans, 46 kenderaan pacuan empat roda dan 225 motosikal pemantauan untuk digunakan pada waktu kecemasan atau bencana alam nanti. – KOSMO! ONLINE