fbpx

Saingan ePiala Malaysia rancakkan e-Sukan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SERAMAI 256 pemain dari seluruh negara bersaing merebut slot ke pusingan 16 pemain terbaik untuk berentap dengan lapan bintang profesional yang menempa nama pada kejohanan eMFL.

SERAMAI 256 pemain amatur bakal bersaing dengan atlet e-Sukan profesional pada kejohanan sukan elektronik bola sepak, TM ePiala Malaysia anjuran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang bermula Ahad lalu.

Selepas pandemik Covid-19 merentap kehangatan saingan bola sepak tempatan, MFL telah mengambil inisiatif untuk me­nganjurkan ePiala Malaysia selepas edisi pertama tahun lalu mendapat perhatian yang cukup memberangsangkan.

Kejohanan e-Sukan ePiala Malaysia akan dilangsungkan secara atas talian dengan menggunakan permainan video bola sepak ter­kenal antarabangsa, FIFA21 yang baru dilancarkan bulan lepas.

“MFL percaya ramai peminat bola sepak tanah air masih terasa dengan pembatalan kejohanan tertua di Asia Tenggara, Piala Malaysia pada musim ini.

“Justeru, saingan ePiala Malaysia menerusi kerjasama de­ngan Gamesbond ini diharap mampu menghadirkan semula kehangatan perlawanan bola sepak di alam maya khususnya dalam kalangan penyokong,” kata MFL dalam satu kenyataan.

LUQMAN HAZIQ (dua dari kanan) yang mewakili TFC berjaya meraih gelaran juara ePiala Malaysia pada tahun lalu.

Sebagai rekod, saingan ePiala Malaysia pada kali ini bakal menjadi saingan atas talian kedua yang dianjurkan oleh MFL selepas kejohanan e-Sukan Liga Bola Sepak Malaysia (eMFL) yang berlangsung dengan meriah pada Julai lalu.

Namun, edisi kali ini dilihat lebih menarik dengan format baharu iaitu pemain-pemain berstatus amatur di seluruh Malaysia berpeluang untuk menyertai kejohanan di pusingan kelayakan sebelum bersaing dengan lapan pemain profesional lain yang sudah menempa nama pada kejohanan eMFL sebelum ini.

“Seramai 256 pemain amatur akan bersaing dalam pusingan kelayakan menggunakan format kalah mati bagi merebut slot lapan terbaik untuk beraksi di pusingan akhir menjadikan 16 pemain secara keseluruhan bakal berentap untuk merebut gelaran juara ePiala Malaysia 2020.

“Kesemua 16 pemain ini akan diberi penghormatan untuk mewakili 16 pasukan yang bermain pada Piala Malaysia 2020 iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah, Terengganu FC, Perak, Se­langor, UiTM FC, PJ City, Pahang, Melaka,­ Sabah, Felda United, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kuching FA, Kelantan, dan Kelantan United.

“Tidak mustahil pemain amatur ini nanti boleh mencetuskan kejutan dalam kalangan pemain profesional lain sekali gus berpe­luang untuk membina karier yang lebih jauh dalam arena ­e-Sukan ini,” kata kenyataan itu lagi.

Penganjuran edisi pertama ePiala Malaysia tahun lalu telah merekodkan lebih 250,000 tontonan dengan atlet e-Sukan terkenal, Luqman Haziq Hajiman yang mewakili pasukan TFC berjaya meraih gelaran juara.

Sementara itu, Luqman me­ngakui tugas yang cukup mencabar buatnya jika berhasrat untuk mempertahankan trofi kejuaraan pada saingan musim ini memandangkan cabaran yang diberikan oleh semua pemain dijangka sengit.

“Saya jangka saingan sengit tambahan pula ePiala Malaysia kali ini menggunakan permainan video FIFA21 berbanding FIFA20 yang agak berbeza dan belum dikuasai sepenuhnya oleh barisan pemain,” katanya kepada Kosmo!.

Hadiah bernilai RM5,000 bakal menjadi rebutan untuk kejohanan yang bakal disiarkan secara langsung di Facebook MFL bagi pusingan kelayakan hari ini dan pusingan akhir yang bakal berlangsung dari 1 hingga 4 ­Disember depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI