PELUMBA Sepanyol, Jorge Martin menegaskan dia tidak gemar untuk berkongsi data perlumbaannya biarpun Ducati membawa dasar terbuka perkongsian data.
Ketika ini, Martin dilihat bersedia untuk melakukan apa sahaja bagi mengekang pelumba Ducati, Francesco Bagnaia untuk menjulang gelaran dunia selepas hanya ketinggalan 14.
Disebabkan itu, Martin enggan untuk berkongsi data dengan mana-mana pasukan kilang mahupun satelit ketika dia dalam ‘mood’ memburu kemenangan dalam baki dua perlumbaan musim ini.
“Saya rasa strategi Ducati memang baik kerana pelumba lain boleh berada pada tahap yang sangat bagus.
“Tetapi, saya fikir saya lebih suka untuk tidak melihat data pelumba pasukan lain supaya orang lain tidak dapat melihat data saya.
“Jika diikutkan data pasukan lain hanya membantu saya sedikit kira-kira 10 peratus. Selebihnya saya buat sendiri. Saya sudah tahu mengenai dasar data terbuka ini,” katanya.
Bagnaia yang menamatkan saingan di tempat ketiga di Grand Prix Malaysia pada Ahad lalu membawa kelebihan 14 mata ke Qatar dan bertekad untuk membawa kelebihan itu sehingga ke pusingan terakhir di Valencia. – AGENSI