MELAKA – Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda RM11,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri jongkong emas dan wang tunai berjumlah RM27,820, bulan lalu.
Majistret Khairunnisak Hassni menetapkan hukuman itu terhadap tertuduh, Goh Min Xiu, 25, yang membuat pengakuan tersebut sejurus dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh dengan niat curang telah mencuri satu jongkong emas 999 seberat 100 gram bernombor C388364 yang bernilai RM25,393.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 4.30 petang di sebuah kedai emas dalam daerah Melaka Tengah pada 30 Oktober lalu.
Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didapati dengan niat curang mencuri wang tunai berjumlah kira-kira RM2,427 milik majikannya.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10 malam di sebuah restoran di Kompleks Perniagaan Kota Syahbandar dalam daerah Melaka Tengah pada 22 Oktober 2023.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman ringan diberikan dengan alasan dia perlu menjaga ibu yang sudah tua, selain telah sedar dengan kesalahan yang dilakukan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran.
Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Khairunnisak menjatuhkan hukuman penjara lima bulan bermula dari tarikh ditangkap iaitu 7 November dan denda RM11,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar bagi kedua-dua pertuduhan. – KOSMO! ONLINE