KUALA LUMPUR – Kira-kira 25 hingga 30 peratus golongan miskin tegar yang berdaftar sebagai penerima bantuan dalam sistem eKasih tidak berminat untuk menyertai program membasmi kemiskinan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata,golongan ini didapati lebih berminat untuk terus berada dalam program bantuan tunai.
“Yang melibatkan menjana pendapatan memang golongan ini tidak berminat.
“Maklumat ini diperolehi melalui inisiatif Kementerian Ekonomi untuk memprofilkan isi rumah miskin tegar dan memadankan mereka dengan program membasmi kemiskinan.
“Pada dasarnya, situasi seperti ini akan menimbulkan cabaran kepada kerajaan dalam melaksanakan pemutihan pangkalan data eKasih,” ujarnya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang ingin tahu mengenai pemutihan senarai penerima di bawah e-Kasih dalam sesi waktu pertanyaan menteri (MQT) sidang Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Rafizi, kerajaan turut mempertimbangkan untuk mengguna pakai beberapa pemboleh ubah selain pendapatan seperti aset dan lokasi kediaman pada masa akan datang.
“Kita boleh dapat angka yang lebih tepat berhubung kedudukan isi rumah miskin supaya bantuan dapat disalurkan dengan lebih tepat,” ujarya.
Rafizi turut memaklumkan, hasil pemutihan yang dijalankan, senarai penerima eKasih yang telah dibersihkan kini mengandungi kira-kira 80,000 isi rumah. -KOSMO! ONLINE.