WASHINGTON – Pentadbiran North Andover di negeri Massachusetts meluluskan permit bagi membolehkan bendera Palestin dikibarkan di sebuah kawasan awam di bandar berkenaan, lapor portal berita Fox News semalam.
Menurut stesen berita Boston 25 News, bendera Palestin berkibar di North Andover pagi kelmarin dan akan dikibarkan sehingga 7 Disember ini.
Pada Isnin lalu, sebahagian penduduk yang menghadiri mesyuarat bersama pentadbiran bandar itu menyokong bendera Palestin dikibarkan, manakala sebilangan lagi menentangnya.
Sebelum ini, mesyuarat itu terpaksa ditangguhkan kerana ancaman litigasi dan kebimbangan terhadap keselamatan awam sebelum ia diadakan semula.
Seorang penduduk, Salma Boulal yang menghadiri mesyuarat itu berkata, jika Israel boleh mengibarkan benderanya di kawasan umum di North Andover, penduduk Palestin juga berhak mendapat hak yang sama, lapor stesen berita tersebut.
Bagi memastikan ketenteraman ditegakkan, polis turut hadir dalam mesyuarat itu.
Pengurus North Andover, Melissa Rodrigues berkata, permohonan untuk mengibarkan bendera Palestin itu telah dikemukakan kepada pihaknya pada 16 Oktober lalu, kira-kira enam jam sebelum pegawainya mengemas kini polisi baharu tentang pengibaran bendera.
Sebelum perubahan itu, penduduk dibenarkan untuk memohon mengibarkan mana-mana bendera di tiang bendera bandar tersebut.
Namun, di bawah dasar baharu itu, tiada bendera berkaitan budaya lain akan dibenarkan berkibar di North Andover. – AGENSI