BALING – Seorang wanita warga emas yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) ditemui meninggal dunia di dalam sebuah telaga di Kampung Mengkuang Tengah, Kupang di sini petang tadi.
Mayat mangsa Umi Kalsom Jasin, 80, ditemui saudaranya yang juga jiran kira-kira pukul 4.30 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, hasil temu bual, saudaranya menyatakan dia ternampak mangsa memotong rumput di belakang rumah pukul 12.30 tengah hari tadi.
“Saudaranya itu kemudian mendapati mangsa tiada di rumah dan cuba mencarinya di kawasan sekitar sebelum menemui mayat mangsa yang juga OKU pendengaran dan percakapan dalam telaga. Telaga itu terletak 100 meter di belakang rumahnya.
“Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa dan kawasan sekitarnya mendapati tiada unsur jenayah dalam kes kematian mangsa,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, sepupu mangsa, Mohd. Nor Hashimi Md. Isa, 54, memberitahu, warga emas itu tinggal seorang diri di rumahnya dan masih dalam keadaan sihat.
“Sebelum kejadian, sepupu saya pergi ke kedai berhampiran untuk membeli ikan dan barangan keperluan lain sebelum meletakkan barang belian di dalam rumah.
“Seorang jiran pergi ke rumah mangsa dan mendapati barangan yang dibeli itu masih tidak berubah tempat dengan mangsa tiada di rumah,” katanya.
Menurutnya, jiran yang juga saudara mangsa kemudiannya tergerak hati untuk mencarinya di sekeliling rumah sebelum mendapati terdapat sesuatu di dalam telaga tersebut. – KOSMO! ONLINE