PETALING JAYA – Pendakwah muda, Da’i Syed membuat laporan polis selepas dituduh merogol seorang gadis seperti yang tersebar dalam laman Twitter hari ini.
Satu laporan telah dibuat di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada pukul 5.45 petang tadi terhadap akaun @ainunnajwa yang mendakwa rakannya telah dirogol oleh pendakwah muda itu.
Kesal dengan tuduhan berkenaan, Syed atau nama lengkapnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail, 25, berkata, laporan polis tersebut dibuat untuk membersihkan nama baik selain melindungi dirinya daripada dikaitkan dengan dakwaan tidak berasas sebegitu.
“Tuduhan terbabit terlalu berat dan menjatuhkan maruah serta reputasi saya. Saya terkejut dan menyifatkannya sebagai fitnah paling buruk yang pernah saya hadapi selama menjadi pendakwah.
“Saya memandang serius perkara ini dan berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan lanjut kerana dakwaan itu mencemarkan nama baik saya.
“Saya berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera kerana telah mencalarkan maruah saya dan keluarga. Saya anggap kontroversi ini sebagai dugaan dalam menjalankan tanggungjawab untuk menyalurkan mesej Islam,” katanya.
Terdahulu, nama Da’i Syed yang menyertai program realiti Da’i musim ke keempat (2016) tersebut tular dalam laman Twitter selepas seorang wanita mendakwa rakannya pernah dirogol pendakwah itu. – K! ONLINE