PENGENDALI Kyrgyzstan, Stefan Tarkovic tetap menghormati Harimau Malaya dan turut menyifatkan rakan sejawatnya, Kim Pan-gon sudah pun berjaya melakukan perubahan ketara ke atas pasukan kebangsaan sejak mula ambil alih pada awal tahun lalu.
Rentetan itu, Tarkovic sedar cabaran getir akan menanti anak-anak buahnya pada aksi pertama Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
“Saya sukakan tekanan dan ia adalah perkara biasa dalam bola sepak. Ini adalah perlawanan terbesar saya dan ini (lawan Malaysia) adalah permulaan untuk objektif kami yang mahu layak ke pusingan seterusnya.
“Semua orang mengimpikan untuk bersaing ke Piala Dunia, begitu juga kami dan untuk layak, kita perlu melepasi pusingan ini dahulu. Jadi, kami akan berjuang habis-habisan untuk mencapai impian ini.
“Walaupun Oman adalah pasukan pilihan tetapi saya tetap melihat Malaysia sebagai salah satu pencabar. Saya rasa dua pasukan yang layak ke pusingan seterusnya akan diputuskan pada hari terakhir perlawanan,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Pada masa sama, Tarkovic juga sedar rekod kemenangan 1-0 yang berpihak kepada Kyrgyzstan ketika 2018 tidak boleh dijadikan ukuran kerana Malaysia kini dibarisi skuad berkualiti.
Malah, jurulatih itu juga menganggap kedudukan Kyrgyzstan di ranking lebih baik berbanding Harimau Malaya tidak menjamin apa-apa.
“Saya rasa Malaysia adalah sebuah pasukan yang baik tetapi kita juga sudah membuat analisis mengenai persembahan pasukan dan prestasi individu. Semuanya bergantung kepada aksi di atas padang nanti malam esok (hari ini).
“Kita perlu manfaatkan kelemahan mereka dan cuba mengelak daripada mereka menggunakan kekuatan mereka. Saya jangkakan ini satu aksi yang sengit dan kita perlu berikan persembahan di tahap tertinggi,” katanya.