SEPANG – Perasaan gembira bercampur sedih dialami seorang rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron sebaik tiba di tanah air kelmarin, terutama memikirkan nasib puluhan ribu lagi rakyat Palestin yang kini sedang berjuang di bumi Gaza.
Nurul Ain dan suaminya yang merupakan rakyat Palestin berjaya dibawa keluar melalui Lintasan Rafah pada Ahad lalu setelah setelah 37 hari terkandas di Gaza.
Pasangan suami isteri itu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, setelah selamat tiba di tanah air malam kelmarin.
“Saya dan suami bersyukur sebab keluarga kami di sana masih selamat, namun cuma serah kepada Allah agar mereka yang tinggal di Gaza dalam jagaanNya,” katanya ketika ditemui pemberita di KLIA kelmarin.
Menurut Nurul Ain, keadaan di Gaza ketika ini disifatkan lebih teruk berbanding konflik berdarah yang tercetus antara pejuang Hamas dengan tentera rejim Israel pada 2014 apabila langsung tiada bekalan elektrik dan air.
“Keadaan di sana agak kritikal apabila tiada bekalan makanan dan barang keperluan harian di Gaza.
“Memang ramai derma kepada saya, tetapi di sana tiada stok makanan dan selimut untuk kami beli, maka lebih baik keluar dari Gaza untuk ambil langkah seterusnya,” katanya.
Konflik Palestin-Israel pada tahun 2014 yang berlarutan selama 50 hari telah mengorbankan 2,143 nyawa dan 11,100 cedera dengan 70 peratus daripadanya adalah orang awam.
Bagaimanapun, konflik pada tahun ini yang bermula pada 7 Oktober lalu telah mengorbankan lebih 11,000 rakyat Palestin yang mana dua pertiga daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak.
Dalam pada itu, menjelaskan mengapa mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia, Nurul Ain berkata, pada awalnya beliau tidak mahu berbuat demikian, namun suaminya berpendapat bahawa mereka perlu keluar dari Gaza.
Ditanya mengenai harapan selepas ini, Nurul Ain berkata, dia mahu proses gencatan senjata dapat disegerakan dan bersedia kembali ke Gaza untuk membantu apa yang patut.
Sebelum ini, Nurul Ain yang berada di Gaza sering berkongsi keadaan semasa di kawasan konflik terbabit menerusi Facebook miliknya termasuk kekejaman yang dilakukan Israel terhadap Palestin.
Nurul Ain dan suaminya mula menjadi bualan ramai di laman media sosial apabila sering memuat naik video dan berkongsi suasana di Gaza selepas mereka tidak sempat meninggalkan kawasan bergolak itu.