KUALA PERLIS – Gabungan Pengilang Beras Malaysia menyarankan pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPTM) dan pejabat Kawalselia Padi Beras (KPB) mewujudkan satu gred beras sahaja.
Pengerusi gabungan tersebut, Marzukhi Othman berkata, pihaknya turut mencadangkan agar pihak kementerian menyemak semula harga siling beras putih tempatan (BPT) yang kali terakhir disemak pada tahun 2008.
“Kami mengesyorkan agar KPB dapat mewujudkan satu gred tunggal beras putih dan tidak lagi perlu dilabel BPT atau beras putih import dalam pasaran.
“Langkah itu perlu kerana sebarang ruang manipulasi di peringkat pemborong dapat ditutup sepenuhnya dan pengguna tidak tertipu dengan produk beras yang mereka beli,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, selagi ada dua gred beras putih pada harga berbeza, ia tidak akan menyelesaikan masalah penyelewengan sekiranya berlaku lonjakan harga beras pada masa hadapan.
Menurut Marzukhi, dengan adanya gred tunggal beras putih, industri padi beras mampu menjadi lebih stabil dan harmoni. – KOSMO! ONLINE