MADRID – Pengendali Sepanyol, Luis De La Fuente mengakui tiada sebarang sasaran yang diletakkan pada kempen kelayakan Euro 2024 selepas memberi ruang buat beberapa pemain baharu untuk sertai sesi latihan pusat skuad kebangsaan kali ini.
Sebagai rekod, skuad La Roja tidak perlu pening kepala untuk memikirkan tentang kelayakan selepas mengesahkan tiket automatik selaku dua negara terbaik Kumpulan A bersama Scotland.
Menurut Fuente, sekarang adalah masa untuk memberikan peluang buat pemain-pemain muda menunjukkan potensi di pentas antarabangsa pada dua aksi menentang Georgia and Cyprus pada kali ini.
“Keputusan untuk saya memanggil beberapa pemain baharu adalah jelas, mungkin akan ada yang mengkritik tetapi saya cuba bersikap adil dengan semua pihak.
“Kita boleh lihat bagaimana semua pemain kita bekerja keras di peringkat kelab dan ini adalah peluang untuk mereka buktikan peluang di peringkat tertinggi.
“Mengenai ketiadaan dua pemain Barcelona, Pedri dan Alejandro Balde adalah disebabkan mereka berdua belum cergas sepenuhnya dan selepas mendapat nasihat pegawai perubatan, saya mengambil keputusan untuk lepaskan sahaja mereka,” katanya.
Antara pemain-pemain baharu yang dipanggil pada kempen kali ini adalah Aleix Garcia daripada kelab Girona dan pemain muda Atletico Madrid, Rodrigo Riquelme. – AGENSI