PUTRAJAYA – Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang kekal sebagai Ahli Parlimen Marang seperti yang mana kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim selepas menolak rayuan akhir yang difailkan bekas calon Barisan Nasional (BN) Jasmira Othman bagi membatalkan kemenangan Abdul Hadi pada PRU15.
“Perayu gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap rayuan. Rayuan perayu ditolak tanpa sebarang kos,” kata hakim Abang Iskandar.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Rhodzariah Bujang.
Dalam prosiding hari ini Jasmira selaku perayu diwakili peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun manakala Abdul Hadi selaku responden diwakili peguam Yusfarizal Yussoff.
Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya (Mahkamah Tinggi) di Terengganu menolak petisyen pilihan raya yang difailkan oleh Jasmira untuk mencabar kemenangan Abdul Hadi.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani ketika itu memutuskan Jasmira gagal membuktikan wujud unsur rasuah mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lepas, antara lain atas dakwaan Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-pencen, i-Belia dan i-Siswa.
Pada PRU15 lepas, Abdul Hadi memenangi kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi menewaskan Jasmira, calon Pakatan Harapan (PH) Azhar Ab Shukur dan calon Pejuang Dr. Zarawi Sulong. – KOSMO! ONLINE