LIVERPOOL – Pemain pertahanan Liverpool, Virgil Van Dijk mengakui skuad muda yang dimiliki pasukannya mampu untuk mencabar Manchester City dalam perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris, tetapi percaya mereka memerlukan elemen tuah.
Liverpool ketika ini hanya ketinggalan satu mata di belakang penyandang juara itu selepas 12 perlawanan dan bakal berdepan City pada aksi pertama selepas tempoh rehat aksi antarabangsa 25 November nanti.
Van Dijk mengakui meletakkan harapan bahawa Liverpool mampu menyekat monopoli City yang sudah meraih tiga gelaran EPL berturut-turut dengan mempamerkan aksi konsisten sepanjang musim ini.
“Apabila saya melihat bilik persalinan, kami seperti pasukan bawah 23 tahun. Namun, kami masih mempunyai kualiti. Apabila anda bermain dengan baik, maka secara automatik anda dianggap berpengalaman walaupun usia muda.
“Kami hanya perlukan sedikit tuah, kami tidak boleh berdepan masalah kecederaan dan perlu konsisten Setakat musim ini, kami berjaya melakukannya dengan baik tetapi kejuaraan tidak ditentukan pada November dan banyak lagi cabaran yang perlu kami hadapi,” katanya.
Ketika Liverpool meraih kemenangan 3-0 ke atas Brentford Ahad lalu, skuad kendalian Jurgen Klopp itu kehilangan ramai pemain utama seperti Alexis Mac Allister yang digantung dan kecederaan dialami oleh Andy Robertson, Ibrahima Konate, Joe Gomez, Ryan Gravenberch, Curtis Jones, Thiago Alcantara dan Stefan Bajcetic.
Situasi itu menyebabkan Klopp terpaksa membawa masuk ramai pemain muda ke bangku simpanan termasuk memberi peluang kepada James McConnell untuk melakukan debut, namun aksi dipamerkan berjaya mengundang pujian Van Dijk. – AGENSI