PETALING JAYA – Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon menggesa agar ribuan peminat setia Harimau Malaya hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjelang aksi pembukaan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan malam esok.
Jurulatih import dari Korea Selatan itu turut berharap agar ramai penyokong hadir kerana ini adalah perlawanan terakhir Harimau Malaya di laman sendiri tahun ini.
“Saya meletakkan harapan tinggi agar kehadiran penyokong dapat meningkat pada hari perlawanan nanti kerana kita memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.
“Kita perlu buat lawan gentar dengan pasukan dan perlukan penyokong untuk memberikan suasana tersebut.
“Ini adalah permulaan awal kelayakan Piala Dunia 2026 dan peluang untuk mereka bantu pasukan layak ke peringkat seterusnya,” katanya dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya sebentar tadi.
Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan harga tiket RM60 bagi kategori Grandstand, RM80 (Premium), RM40 (Terbuka) dan RM5 untuk kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun.
Berdasarkan kemas kini FAM pagi tadi, hanya 7,587 keping tiket terjual dan jumlah itu masih lagi kecil berbanding kapasiti sebenar SNBJ sekitar 80,000 tempat duduk. – KOSMO! ONLINE