ANKARA – Turkiye memfailkan kes pendakwaan terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas tuduhan melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin.
Saluran televisyen Al Mayadeen melaporkan, perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam parti pemerintah, Parti Keadilan dan Pembangunan, Metin Kulunk dalam satu hantaran di platform X.
“Hari ini kami memfailkan tuntutan di ICC di The Hague, Belanda terhadap Hitler abad ke-21, Benjamin Netanyahu yang mesti dibicarakan atas pembunuhan beramai-ramai yang dilakukannya di Semenanjung Gaza serta semua jenayah kemanusiaan,” tulis Kulunk.
Kulunk mendedahkan 23 muka surat tuntutan mahkamah tersebut. Bersama dua peguam lain, beliau memfailkan kes itu menerusi Kementerian Kehakiman Turkiye yang akan mengemukakannya ke ICC.
Pada Ahad lalu, Presiden Recep Tayyip Erdogan menyelar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan kerana tidak berkesan menangani krisis kemanusiaan di Gaza.
Erdogan menganggap PBB tidak menghiraukan penderitaan rakyat Gaza selain menekankan keperluan untuk sistem lebih saksama dan tidak menyerahkan nasib dunia di tangan beberapa negara yang mempunyai kuasa veto.
“PBB kini menjadi tidak efektif. Ini bermaksud, Majlis Keselamatan pun tidak boleh mencapai sebarang keputusan,” katanya. – AGENSI