SHAH ALAM – Kerajaan negeri mendedahkan sebanyak 176 projek melibatkan 35,995 unit rumah terbengkalai di Selangor.
Exco Perumahan, Pembangunan Bandar Lestari, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu serta Warisan, Borhan Aman Shah berkata, ini terjadi selepas timbulnya masalah dari segi tanah, terbiar (projek yang begitu lama) infrastruktur dan duduk tanpa sijil layak menduduki (CF).
Katanya, daerah Gombak paling tinggi dengan 7,792 projek terbengkalai tersebut diikuti Klang (5,943) dan Hulu Selangor (5,508).
“Kita telah mengambil tindakan ke atas pemaju bermasalah dengan mendapatkan nama-nama Ahli Lembaga Pengarah syarikat pemaju daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk disenarai hitamkan dan diedarkan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Melalui, sistem pendaftaran pemaju (SPEM) di Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), pemaju diwajibkan berdaftar sekiranya ingin menjalankan pembangunan perumahan dalam tempoh 30 hari dari tarikh Kebenaran Merancang diluluskan oleh PBT,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Jamil Salleh (PN – Dengkil) ingin mengetahui tindakan kerajaan terhadap para pemaju terlibat dengan projek terbengkalai dan statistik mengenainya mengikut daerah.
Menurut Borhan yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat, pemaju yang telah disenarai hitam tidak akan dibenarkan melaksanakan apa-apa pembangunan di Selangor.
Ujarnya, ini termasuk membuat permohonan untuk pembangunan tanah walaupun mereka hanya berperanan sebagai salah seorang pemilik syer sahaja di bawah nama syarikat pemaju lain.
“Kita akan mengenal pasti bagi pemaju-pemaju penyelamat setelah mendapat keputusan sama ada telah diangkat (rekodnya) ke mahkamah atau sebagainya.
“Sekiranya, pemaju penyelamat yang kita kenal pasti selayaknya, maka LPHS akan mempertimbangkan bagi bertanggungjawab dalam projek tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE