KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) membelanjakan sebanyak RM378.8 juta untuk menampung keperluan veteran ATM bagi tempoh 2020 hingga kini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kemudahan perubatan untuk veteran ATM berpencen dan orang tanggungan yang layak diuruskan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala yang tidak berpencen diuruskan JHEV ATM.
Menurutnya, pecahan perbelanjaan itu bagi 2020 adalah sebanyak RM78.8, 2021 (RM111.5 juta), 2022 (RM105. juta) dan RM83.5 juta untuk 2023.
“Kemudahan itu meliputi permohonan pembayaran balik perbelanjaan perubatan contohnya hemodialisis, ubat, kanta mata, alat pendengaran, alat implan atau ortopedik.
“Ini termasuk rawatan kecemasan di hospital atau klinik, di Institut Jantung Negara (IJN), bantuan peralatan seperti kerusi roda, tongkat, katil, tilam dengan had maksimum berjumlah RM5,000.00 serta tuntutan bayaran perjalanan perubatan veteran,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Lumut (PN) Komander Nordin Ahmad Ismail mengenai jumlah peruntukan yang perlu tanggung setiap tahun sejak 2020 bagi menampung kos perubatan veteran berpencen dan veteran tidak berpencen. – KOSMO! ONLINE