PETALING JAYA- Seorang kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) yang bertugas di ibu pejabat bank itu dekat Menara Bumiputera, Kuala Lumpur disahkan positif Covid-19.
Bank Muamalat dalam satu kenyataan berkata, kakitangan tersebut kini sedang menerima rawatan lanjut di sebuah hospital kerajaan.
“Bank Muamalat telah melaksanakan sistem bekerja dari rumah dan penggiliran jadual ke pejabat menerusi pasukan A dan B sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Pekerja positif Covid-19 terbabit mengetahui dia dijangkiti ketika bertugas di pejabat secara penggiliran melalui pasukan A. Pun begitu, jangkitan virus itu bukanlah dari mana-mana cawangan Bank Muamalat,” katanya di sini tadi.
Katanya, sebagai langkah berjaga-jaga, semua pekerja yang mempunyai kontak rapat diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah selama 14 hari sehingga pihak perubatan mengesahkan tahap kesihatan mereka.
“Pengesanan kontak juga sedang dilakukan berdasarkan kepada garis panduan Kementerian Kesihatan.
“Proses sanitasi dan pembersihan turut dijalankan di Menara Bumiputera selain kawasan terjejas akan ditutup selama 14 hari. Pun begitu, ibu pejabat Bank Muamalat akan dibuka untuk pekerja yang perlu datang bekerja,” jelasnya. – K! ONLINE