PETALING JAYA – Keberanian seorang wanita menjadi pemandu lori tangki mendapat pujian orang ramai.
Sebuah video berdurasi 21 saat memaparkan wanita berkenaan sedang memandu lori tersebut di sebuah lebuh raya turut menjadi tular di media sosial.
“Tengah-tengah ‘healing’ nampak kakak ini, hebatnya kakak ini,” tulis kapsyen pada video tersebut.
Bagaimanapun tidak dinyatakan bila dan di mana video berkenaan dirakam.
Menerusi tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna memuji keberanian wanita itu bekerja dalam bidang yang jarang disertai oleh kaum wanita.
“Perempuan tak kisah buat kerja lelaki, niat satu untuk keluarga. Dia tetap kuat walaupun kerja lelaki, perempuan tetap cuba buat sampai dapat. Jadi, hargailah pengorbanan seorang wanita,” kata Norma.
“Mak datuk… Bapak tanker Volvo FMX 50 Ton 4 axle tu. ‘Salute’ habis kat kakak. Hati-hati memandu kak,” kata Dzulkifley.
“Bapak ‘tanker’ dia bawa, power kuat mental. Aku pernah bawa sekejap lori ini, stress sebab bukan kiri kanan saja kena peka,” kata Jaii.
“Kakak ini suami isteri kerja pemandu lori. Kerja satu syarikat, biasa suami dia mesti ada ikut dia dari belakang,” kongsi Rubiah.
Sehingga kini, video berkenaan telah ditonton lebih 78,000 kali dan mendapat 1,500 tanda suka. – KOSMO! ONLINE