PUTRAJAYA – Sejumlah 65.7 peratus perbelanjaan pembangunan (DE) Asas dibelanjakan meliputi RM32.9 bilion daripada keseluruhan peruntukan RM50.08 bilion
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, ia melibatkan 8,052 projek dibelanjakan di lapangan setakat 6 November lalu.
“Secara keseluruhannya, berdasarkan prestasi perbelanjaan Rolling Plan 3 Rancangan Malaysia Ke-12, sebanyak RM74.53 bilion telah dibelanjakan di seluruh negara.
“Angka tersebut bersamaan dengan 76.84 peratus daripada jumlah peruntukan sebanyak RM97 bilion yang membabitkan kira-kira 8,241 program atau projek awam,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Pembangunan Negara (APN) di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Menurut Mohd. Zuki, terdapat tiga kementerian merekodkan perbelanjaan DE Asas tinggi melebihi purata keseluruhan sebanyak 65.69 peratus.
Ia melibatkan Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Pengangkutan. – KOSMO! ONLINE