ISU manipulasi carta dan undian bagi lagu ataupun program sedang mendapat perhatian meluas daripada peminat ketika ini termasuklah di peringkat global.
Terbaharu, penyanyi muda Kyung Seo dikatakan terlibat dalam taktik kotor tersebut gara-gara lagu baharunya berjudul Shiny Star pantas menduduki nombor kedua, berada di bawah lagu BTS, Life Goes On.
Perkara tersebut diperdebatkan umum memandangkan dia masih baru dalam industri.
Jadi kedudukan carta yang luar biasa tersebut cukup ketara sehinga menampakkan dia terlibat dalam manipulasi carta atau disebut sebagai sajaegi.
“Wow, sangat hebat tetapi pelik bagi seorang artis baharu. Awak siapa sebenarnya?” tulis seorang netizen.
Bagaimanapun, ada sesetengah yang mendakwa lagu tersebut sangat popular dalam media sosial.
Disebabkan itulah kedudukannya cukup tinggi dalam carta muzik.
“Lagu ini sangat popular dalam carta Cyworld. Jadi peminat generasi baharu sangat menyukainya,” kata seorang pengguna lain.
Bagi yang tidak mengenali, Kyung Seo merupakan peserta dalam program Voval Play 2.
Lagu Shiny Star yang diluncurkan minggu lalu merupakan single perdananya.