BARISAN pemain Harimau Malaya digesa jangan gentar dengan ranking lawan sebaliknya berusaha sepenuh tenaga menjelang aksi Kumpulan D bagi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan esok.
Pemain tengah, Brendan Gan berkata, aksi menentang Kyrgyztan cukup penting dalam usaha memulakan kempen kelayakan dengan langkah kanan.
Kata Brendan, barisan kejurulatihan diketuai Kim Pan-gon juga sudah menganalisa kekuatan lawan termasuk Taiwan yang bakal ditentang minggu depan.
“Banyak kerja rumah yang sudah dibekalkan oleh barisan kejurulatihan dalam merencanakan taktikal agar pemain faham dengan apa yang bakal dihadapi ketika bertemu Kyrgyztan nanti.
“Kita tahu mereka adalah pasukan yang kuat berdasarkan ranking semasa termasuk juga Taiwan, namun saya percaya kedua-dua perlawanan ini boleh dimenangi oleh pasukan andai kekal fokus sepenuhnya.
“Barisan pemain juga berada pada tahap keyakinan terbaik untuk memastikan kempen kelayakan kali ini dapat dimulakan dengan langkah kanan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Sebagai rekod, skuad negara ketika ini menduduki ranking ke-137, manakala Kyrgyzstan berada dalam kelompok pasukan ke-97 dunia.
Selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti, skuad kebangsaan akan terbang ke Taipei pada Ahad ini untuk menentang Taiwan yang berada di kedudukan ke-152 pada Selasa depan.
Malaysia hanya pernah menentang Kyrgyzstan sekali pada tahun 2018 dengan kemenangan 1-0 berpihak kepada negara wilayah Asia Tengah itu.