SKUAD Harimau Malaya sangat mendambakan pemain berdarah warisan yang kualiti setara seperti Dion Cools dalam usaha merealisasikan impian untuk lolos ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 nanti.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pemain seperti Cools memiliki karakter yang cukup positif selain komited setiap kali dipanggil menyarung jersi skuad kebangsaan.
Kata Hamidin, keputusan Cools untuk mewakili skuad Harimau Malaya seperti bulan jatuh ke riba kerana bukan mudah pemain berkualiti sepertinya beraksi di Asia Tenggara.
“(Kehadiran) Cools macam bulan jatuh ke riba. Kalau dapat mungkin pemain seperti Cools tiga atau empat orang lagi sudah tentu akan mengubah permainan skuad kebangsaan.
“Saya jangka 2025 mungkin akan ada penambahan pemain kerana kelayakan ketiga (Piala Dunia) bermula bulan sembilan 2024 hingga 2025.
“Cuma, harus diakui kita agak sukar untuk mencari pemain berdarah warisan yang berkualiti kerana kita tidak seperti negara-negara tertentu yang memiliki ramai pemain berpangkalan di luar negara,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Sebagai rekod, FAM mengesahkan Cools menjadi pemain berdarah warisan terbaharu yang setuju untuk menyarung jersi skuad negara pada Jun 2021 selepas mewakili negara Belgium pada peringkat remaja.
Selepas hampir dua tahun bersama Malaysia, Cools sudah melakukan 17 penampilan dan berjaya menjaringkan dua gol untuk skuad kebangsaan.
Cools yang baru berusia 27 tahun pernah mewakili beberapa kelab di Eropah seperti Brugge dan Midtjylland sebelum berkelana ke Liga Thailand dengan menyertai Buriram United awal tahun ini.