fbpx

Tali terputus ketika ‘main tarik tali’ dengan Zii Jia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH bercakap kepada pemberita mengenai isu Zii Jia yang enggan menandatangani LOC pada RTG di Kuala Lumpur hari ini.

SUBANG JAYA – Persoalan mengenai kedudukan perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia dalam program Road to Gold (RTG) akhirnya terjawab selepas dia dilaporkan tidak menandatangani persetujuan komitmen (LOC) program tersebut.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan bekas pemenang kejohanan Seluruh England (All England) itu tidak menandatangani LOC meskipun sudah bermain ‘tarik tali’ selama beberapa bulan berhubung perkara tersebut.

Hannah berkata, pihaknya tidak boleh memaksa mana-mana atlet untuk menyatakan persetujuan bagi menerima perkhidmatan tambahan dalam RTG yang bertujuan memburu pingat emas pertama pada Sukan Olimpik.

“Setakat ini, Lee Zii Jia tidak tandatangan persetujuan RTG tetapi kita tunggu kenyataan yang dikeluarkan nanti. Memang sudah ada kata putus, cuma kita tunggu keputusan tersebut sahaja.

“Bagi saya, benda ini mudah sahaja. RTG adalah kemudahan yang kita wujudkan sebagai perkhidmatan tambahan kepada atlet-atlet ke Paris. Kita juga cakap RTG adalah platform untuk kita hapuskan birokrasi.

“Saya tidak boleh memaksa atlet untuk terima (RTG) atau mereka sudah ada fasiliti lain yang boleh diakses, semuanya terpulang kepada mereka. Mahu atau tidak, keputusan perlu dibuat atlet sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Wanita Dalam Sukan ASEAN 2023 di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Segambut menjelaskan, pihaknya sudah pun mengadakan perbincangan dengan barisan atlet mengenai setiap keperluan mereka dalam program elit tersebut.

Untuk rekod, Zii Jia menerusi pengurusnya, Lee Zii Yii sebelum ini menjelaskan adiknya berdepan kekangan untuk menandatangani kontrak RTG kerana terlibat dengan jadual kejohanan yang padat.

Pada ketika ini, 14 orang atlet tersenarai dalam RTG termasuk dua jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri (terjun) serta Mohd. Aniq Kasdan (angkat berat). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI