fbpx

Konflik Palestin-Israel: Hantar bantuan Gaza guna payung terjun pilihan terakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pesawat pengangkut udara Ilyushin buatan Russia yang disewakan kepada Program Makanan Sedunia (WFP) menjatuhkan bantuan di daerah Ayod, Sudan Selatan pada 6 Februari 2020. - AFP

BANDAR GAZA – Seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan bahawa penggunaan payung terjun adalah ‘jalan terakhir’ untuk menghantar bantuan ke Semenanjung Gaza kerana kaedah tersebut ‘amat mencabar’ dari sudut logistik.

Laman berita Middle East Monitor melaporkan, perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB di Wilayah Palestin(OCHA), Andrea De Domenico dalam satu taklimat be­rita.

“Payung terjun sentiasa menjadi pilihan terakhir jika anda bertanya kepada mana-mana rakan logistik kerana kaedah demikian sangat mahal dan tidak mapan,” katanya.

De Domenico berkata, terdapat banyak cara lain untuk menghantar bantuan ke wilayah Palestin itu jika pihak-pihak yang terbabit dalam konflik bersetuju memberikan akses tanpa halangan dan secara berterusan.

Namun, katanya, perkara tersebut sukar dicapai buat masa ini.

Beliau berkata demikian selepas Perdana Menteri Palestin, Mohammed Shtayyeh menyeru Kesatuan Eropah (EU) dan PBB untuk menghantar bantuan menggunakan payung terjun ke Semenanjung Gaza.

“Jadi saya fikir bahawa perkara pertama adalah bertegas dalam membuka lintasan sempadan dan memastikan bekalan berterusan masuk berbanding memikirkan senario ekstrem seperti menggugurkan bantuan menggunakan payung terjun.

“Saya tahu bahawa orang Jordan sudah menghantar bantuan melalui pesawat. Namun sudah tentu seperti yang anda bayangkan bahawa kuantitinya adalah terhad dan sangat mencabar dari segi logistik,” tambah De Domenico.

Beralih kepada pertempuran yang semakin sengit di sekitar Hospital Al-Shifa pada hujung minggu lalu, De Domenico berkata, infrastruktur termasuk tangki air, stesen oksigen, kemudahan kardiovaskular dan wad bersalin telah rosak.

“Kami menyeru semua orang untuk menghormati hospital. Hospital tidak boleh dijadikan tempat peperangaan.

“Sebarang operasi ketenteraan di sekitar atau di dalam hospital mesti mengambil langkah untuk menyelamatkan dan melindungi pesakit, kakitangan perubatan dan orang awam lain

“Semua langkah berjaga-jaga yang boleh dilaksanakan, mesti diambil termasuk amaran berkesan yang mengambil kira keupayaan pesakit, kakitangan perubatan dan orang awam lain untuk berpindah dengan selamat,” tegasnya

De Domenico juga menambah bahawa ‘tiada pilihan’ lain untuk menempatkan semula pesakit dalam keadaan selamat di mana-mana tempat di Semenanjung Gaza. Kehidupan penduduk di Gaza ‘ibarat telur di hujung tanduk’ kerana kehabisan bahan api dan bekalan perubatan.

Sementara itu, beliau menganggarkan bahawa seramai 230,000 orang dipercayai telah berpindah ke selatan Gaza setakat Ahad lalu.

Ketika serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza memasuki hari ke-38 kelmarin, sekurang-kurangnya 11,180 rakyat Palestin terbunuh, termasuk lebih 7,700 kanak-kanak dan wanita, manakala lebih 28,200 mangsa cedera, demikian menurut angka terkini pihak berkuasa Palestin.

Beribu-ribu bangunan terma­suk hospital, masjid dan gereja juga rosak atau musnah dalam serangan udara dan darat yang berterusan oleh Israel ke atas Semenanjung Gaza yang digempur sejak bulan lalu. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI