PETALING JAYA – Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) melaporkan beberapa laluan di lebuh raya utama mengalami peningkatan trafik bermula pukul 2 petang tadi menghala ke negeri di utara dan selatan Semenanjung.
Ia susulan orang ramai mula bergerak pulang selepas bercuti sempena sambutan Deepavali selain sesi persekolahan yang juga akan bermula esok.
LLM menerusi laporan trafik di Facebook memaklumkan di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, trafik perlahan dari Tol Sungai Besi ke pusat bandaraya, Pedas Linggi ke Senawang, Simpang Ampat ke Pedas Linggi dan Pandan ke Setia Tropika.
“Bagi arah selatan pula, aliran trafik perlahan dari HS Kulai ke Senai (Utara) dan Setia Tropika ke Pasir Gudang,” jelasnya.
Sementara itu, antara laluan lain yang turut mengalami kesesakan sehingga berlaku kelewatan hampir sejam adalah di Kilometer (KM) 270.4 arah utara dari Bandar Ainsdale ke Nilai serta KM 67.9 arah Selatan dari Pendang ke Gurun akibat insiden kemalangan. – KOSMO! ONLINE