RIYADH – Belum pun sampai setahun beraksi bersama pasukan Al-Nassr, pemain bola sepak sensasi Cristiano Ronaldo dikatakan sudah berjaya mengumpul ‘harta’ bernilai RM884.5 juta.
Dia yang pernah memenangi lima kali anugerah Ballon d’Or itu sebelum ini telah menandatangani kontrak bernilai 177 juta pound (RM1.02 bilion) pada akhir Disember lalu.
Perpindahannya mencetus kebanjiran bintang Eropah lain ke Liga Pro Saudi, antaranya Neymar, Sadio Mane, Roberto Firmino, Karim Benzema, Jordan Henderson, Riyad Mahrez, Allan Saint-Maximin dan Ruben Neves.
Namun belum ada pemain yang mampu menyaingi pendapatan Ronaldo di liga berkenaan.
Penyerang Portugal berusia 38 tahun itu bagaimanapun tidak hanya goyang kaki berada di Liga Pro Saudi itu apabila telah berjaya meledak 36 gol dalam 42 penampilan untuk Al-Nassr, yang kini menghuni tangga kedua liga selepas 13 perlawanan.
Anak lelakinya, Cristiano Jr, turut mengikut jejak ayahnya apabila menyertai akademi remaja Al-Nassr.
Ketika Ronaldo beraksi di Juventus dan Manchester United, Cristiano Jr turut menyertai akademi kelab berkenaan.
Selain memakai jersi nombor tujuh seperti Ronaldo, Cristiano Jr turut menunjukkan potensi memberangsangkan apabila terpilih untuk mewakili skuad bawah 15 tahun Al-Nassr. – AGENSI