KEMAMAN – Perintah reman tujuh remaja lelaki yang disyaki memperkosa seorang remaja perempuan berusia 15 tahun disambung tiga hari lagi sehingga Khamis ini.
Perintah reman terhadap kesemua suspek berusia dalam lingkungan 14 hingga 19 tahun tersebut dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Mereka yang tiba di pekarangan mahkamah pada 10 pagi disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, mereka telah ditahan di beberapa lokasi berasingan pada 8 November lalu berikutan laporan polis dibuat mangsa.
Kosmo! Online 9 November lalu melaporkan Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mangsa mendakwa diperkosa secara bergilir-gilir oleh kesemua suspek. – KOSMO! ONLINE