PUTRAJAYA – Kerajaan Mesir sepatutnya membuka pintu sempadan mereka dan memberi perlindungan kepada pelarian wanita dan kanak-kanak dari Palestin.
Itu cadangan diberikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Mesir bagi meredakan konflik Palestin-Israel ketika ini.
Dr. Mahathir berkata, rakyat Palestin sepatutnya boleh mendapatkan perlindungan di negara-negara jiran termasuk Mesir namun, perkara itu tidak dapat dilakukan ketika ini.
“Saya rasa ini tidak adil dan tidak berperikemanusiaan. Perlindungan itu sekurang-kurangnya memberi kelegaan kepada pelarian berkenaan.
“Justeru, saya harap negara-negara Islam di sekitar Palestin termasuk Mesir menerima sekurang-kurangnya pelarian wanita dan kanak-kanak untuk berlindung,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Katanya, golongan lelaki Palestin sebaliknya perlu kekal di Gaza, Palestin bagi menghalang Israel dari terus menakluk negara itu.
Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, idea penyelesaian dua negara (two state solution) tidak mampu menyelesaikan konflik Palestin-Israel.
Menurutnya, Israel sendiri tidak mahu idea itu direalisasikan kerana bagi mereka, Palestin tidak boleh ada sebuah negara sekali pun. – KOSMO! ONLINE